25 Contoh Soalan dan Cadangan Jawapan yang Boleh Dipraktikkan Semasa Temuduga | 25 contoh soalan dan contoh jawapan temuduga yang disertakan dalam artikel ini merupakah himpunan pengalaman-pengalaman dari pelbagai bidang. Ia merupakan salah satu prosedur umum untuk anda mendapatkan sesuatu perkara, contohnya temuduga guru pendidikan, temuduga pinjaman dan yang paling popular sekali ialah temuduga kerja kerajaan atau swasta.

Persediaan temuduga amat penting kerana ia adalah tiket untuk anda memasuki bidang pekerjaan.

1. Soalan Berkaitan Peribadi

Objektif soalan
Menenangkan calon temuduga.
Menurunkan rasa gementar calon.
Melihat sikap ramah mesra calon.
Melihat kesanggupan calon untuk berkhidmat sebagai pekerja.
Mengesan masalah dalam diri calon.
Melihat kesediaan calon untuk menyelesaikan masalah.

Kaedah soalan
Soalan yang bakal ditanya berbentuk bebas, terbuka dan ulangan semula.

Contoh soalan
Sila perkenalkan diri anda atau ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang anda.

Cadangan jawapan
Jawapan boleh diberi menerusi 3 pilihan iaitu :

A. Kronologi – Ceritakan perihal diri anda berdasarkan turutan.
Saya Ridzuan bin Loqman. Nombor kad pengenalan 851225-10-5045. Saya adalah anak sulung dari 5 adik-beradik. Sekarang saya bekerja di pasaraya Hero sebagai juruwang sejak September lepas.

B. Kreatif – tidak mengikut turutan dan disampaikan dengan cara yang lebih berkesan dan menarik perhatian penemuduga.
Saya Ridzuan bin Loqman. Nombor kad pengenalan 851225-10-5045. Saya adalah pelajar terbaik dalam mata pelajaran Matematik dalam SPM 2002. Saya juga merupakan seorang pemain bola sepak yang mewakili negeri Selangor dan pernah memenangi kejohanan Bola Sepak Peringkat Negeri Selangor pada tahun 2005.

C. Retorik – Menggunakan gaya bahasa yang bersifat memujuk.
Ridzuan ialah nama yang telah diberikan oleh bapa saya Loqman. Seperti yang dipaparkan, kad pengenalan saya bernombor 851222-10-5045. Saya mempunyai semua kelayakan yang cemerlang sama ada akademik mahupun bukan akademik untuk diberikan tugas sebagai seorang guru. Dan yang paling utama ialah saya seorang yang jujur dan amanah kepada majikan dan organisasi yang saya sertai.

Tip menjawab
Bagi soalan yang berkaitan dengan hal peribadi, pastikan bahawa anda :
Tidak mengulang maklumat peribadi yang telah diperincikan dalam resume.
Menyenaraikan kejayaan yang telah dicapai dengan terperinci.
Menceritakan nilai-nilai murni diri anda merangkumi pengalaman hidup dari kecil hingga kini.
Tempoh menjawab semasa temuduga diuruskan dalam masa kurang dari 5 minit.

2. Soalan Berkaitan Pengalaman

Objektif soalan
Menilai pengalaman kerja yang pernah dilalui calon guru.
Menilai kaitannya dengan tugas dalam kerjaya guru.

Panel temuduga akan meneliti jawapan berdasarkan informasi yang telah calon berikan contohnya :
Persamaan dan kaitan pengalaman calon dengan tugas jawatan yang dipohon.
Bagaimana pengalaman tersebut membantu calon ketika menjalankan tugas.
Sejauh mana calon dapat menggunakan pengalaman tersebut dalam tugas guru.
Reaksi calon terhadap pengalaman-pengalaman kerjaya terdahulu.
Mempertimbangkan pengalaman calon untuk diserapkan ke jawatan guru.

Kaedah soalan
Soalan yang bakal ditanya berbentul siasatan, perincian dan butiran.

Contoh soalan
Apakah yang telah anda lakukan sebelum ini?
Ceritakan pengalaman kerja anda yang lepas.
Bagaimana kerja anda sekarang? Adakah ia boleh membantu tugas yang diminta?
Apa yang anda boleh dapati sepanjang melaksanakan kerja tersebut?
Adakah pengalaman berkhidmat di syarikat swasta dapat menambah nilai perkhidmatan anda di sektor awam?

Cadangan jawapan
Selepas menduduki peperiksaan SPM(V) hingga hari ini, saya membantu pakcik saya berniaga di pasar malam di sekitar Klang. Di antara kerja yang saya laksanakan ialah mengambil tempahan dan memastikan stok barang-barang makanan telah sedia untuk dijual. Saya perlu bangun awal setiap hari untuk keluar berjumpa dengan pembekal bagi memastikan kualiti barang yang dibeli memenuhi keperluan pelanggan.

Tip menjawab
Mengutamakan pengalaman yang berkaitan dengan kerjaya guru.
Membuat perbandingan dan persamaan antara tugas guru dengan kerjaya dan pengalaman terdahulu.
Menyelidik dan memahami pelajaran yang diperolehi dari pengalaman terdahulu.

3. Soalan Berkaitan Akademik

Objektif soalan
Melihat pencapaian calon sebagai ukuran kejayaan dan motivasi.
Mengukur keupayaan calon menerusi keputusan peperiksaan.
Mengesan strategi calon untuk mempertingkatkan pencapaian akademik dan bukan akademik.
Mengukur tahap kepuasan calon dalam bidang akademik.

Kaedah soalan
Soalan bakal ditanyakan dalam bentuk penyiasatan dan penerokaan.

Contoh soalan
Apa yang membuatkan anda tertarik untuk menyambung pelajaran dalam bidang senilukis?
Mengapa awak memilih mata pelajaran Sains berbanding Matematik yang mempunyai prospek kerjaya yang lebih cerah?
Mengapa anda tidak meneruskan pengajian sedangkan anda memiliki keputusan yang baik di peringkat ijazah?

Cadangan jawapan
Saya bersetuju dengan kenyataan tuan. Ramai rakan-rakan saya telah melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana. Saya membuat keputusan untuk bekerja kerana ingin mendapatkan perbelanjaan bagi meneruskan hidup. Saya merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di kemudian hari. Kejayaan masih boleh dikecapi walau pun tidak memiliki kelulusan pendidikan yang lebih tinggi. Semasa bekerja pun saya masih boleh belajar secara separuh masa. Ianya saya jadikan satu cabaran untuk meningkatkan masa depan saya.

Tip menjawab
Fokus pada keputusan akademik yang terbaik dalam semua peringkat pendidikan contohnya mendapat A1 dalam Bahasa Melayu di peringkat SPM.
Nyatakan anugerah yang pernah diterima di peringkat sekolah, negeri dan negara.
Keputusan cemerlang yang diperolehi menjadi pengukur kepada peribadi calon seperti rajin, berdedikasi dan berdisiplin.

4. Soalan Berkaitan Kemahiran

Tujuan soalan
Meneliti kemahiran calon dan kesesuaiannya sebagai calon pekerja.
Mempunyai kemahiran wajib contohnya mengajar, mendidik dan menerangkan.
Kemahiran tambahan, menggunakan perisian khas komputer untuk kerja-kerja dokumentasi seperti Microsotf Office dan Open Office.
Kemahiran unik seperti memainkan alat muzik, membaca al-quran bertajwid dan menyanyi.

Kaedah soalan
Soalan bakal ditanyakan dalam bentuk penyiasatan.

Contoh soalan
Apakah kemahiran yang boleh anda tawarkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia?
Terangkan bagaimana anda menggunakan perisian Microsoft Acces untuk membuat kiraan.
Apakah kemahiran milik anda yang boleh memudahkan kerja dan tugasan anda nanti?
Apakah kemahiran-kemahiran yang perlu ada oleh seseorang guru untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya?

Cadangan jawapan
Saya memiliki kemahiran dalam bidang senilukis dan senireka grafik. Selain daripada membuat rekabentuk grafik, saya mempunyai kepakaran dalam perisian Microsoft Office untuk membuat pendataan di samping membuat pengucapan awam. Saya juga mahir dalam komunikasi bahasa ketiga iaitu Mandarin.

Tip menjawab
Menerangkan kemahiran yang calon miliki mengikut keutamaan.
Memperincikan butiran bagi kemahiran calon, misalnya menaip 50 patah perkataan seminit.
Mendapatkan testimoni dan bukti setiap kemahiran secara bertulis.

5. Soalan Berkaitan Tugas Jawatan

Tujuan soalan
Melihat kadar pengetahuan calon berkenaan tugas jawatan yang dipohon.
Menilai persediaan dan persiapan temuduga calon.
Mengukur tahap minat calon terhadap kerjaya berkaitan.

Kaedah soalan
Soalan bakal ditanyakan dalam bentuk penyiasatan. Ia akan menilai dan mengukur tahap pengetahuan dan kefahaman calon terhadap kerjaya guru.

Contoh soalan
Terangkan perkara yang anda tahu berkaitan dengan jawatan guru.
Ceritakan tentang tugas jawatan guru yang anda tahu?
Jika anda dilantik ke jawatan guru, apakah tugas dan tanggung jawab yang perlu dilaksanakan?

Cadangan jawapan
Sebagai seorang guru, saya akan menjalankan tugas mendidik berdasarkan subjek yang diajar.
Jika saya diberi amanah untuk menjadi guru kelas, tanggung jawab yang bakal saya laksanakan ialah perkara yang berkaitan rutin harian seperti merekod kehadiran pelajar, memastikan kelas sentiasa ceria dan mengambil tindakan ke atas pelajar yang terlibat dalam kes melanggar disiplin sekolah.

Tip menjawab
Perincikan tugas guru dengan contoh-contoh yang memperlihatkan calon sedang melaksanakan tugas tersebut.
Berikan jawapan khusus, bukan bersifat umum.
Rujuk kepada kaedah 4W 1H apabila menjawab soalan.

Contohnya :
When – bila waktu calon akan mengajar.
Where – di mana calon akan mengajar.
Why – mengapa calon perlu mengajar.
Who – siapa yang akan diajar.
How – bagaimana cara calon mengajar.
Pengetahuan tentang kerjaya guru adalah penanda aras bagi persediaan, inisiatif dan keupayaan calon guru.

6. Soalan Berkaitan Perkhidmatan Awam

Tujuan soalan
Melihat kepekaan calon dan menduga pengetahuannya tentang perkhidmatan awam.

Kaedah soalan
Soalan bakal ditanyakan dalam bentuk penyiasatan.

Contoh soalan
Mengapa anda ingin berkhidmat dengan sektor perkhidmatan awam?
Berikan pandangan anda tentang program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).
Jika anda bertugas sebagai guru sukan, apakah tugas yang boleh dilaksanakan bagi membantu meningkatkan tahap sukan di sekolah anda?
Apakah cabaran-cabaran yang sedang dihadapi oleh sektor perkhidmatan awam di Malaysia?
Berikan cadangan yang efektif bagaimana anda dapat membantu gejala rasuah di kalangan penjawat awam.

Cadangan jawapan
Pada pandangan saya, program sedia ada hendaklah diperkukuhkan di samping pihak yang berkuasa mengambil inisiatif seperti yang berikut :
Menjalankan penilaian khas berkaitan rasuah terhadap calon.
Menanamkan nilai anti rasuah pada pelajar menerusi sistem pendidikan.
Menjalankan audit program mencegah rasuah secara mengejut dalam sesebuah institusi perkhidmatan awam.

Tip menjawab
Berikan jawapan yang selari dengan dasar, undang-undang dan peraturan Kementerian.
Jelaskan semua perkara yang berkaitan dengan tugas dan peranan calon dalam bidang yang berkaian secara teliti.
Mengambil berat tentang isu semasa yang berkaitan dengan perkhidmatan awam yang menjadi tumpuan di kalangan kakitangan kerajaan dan swasta, Kementerian dan masyarakat Malaysia.

7. Soalan Berkaitan Aktiviti Luaran

Tujuan soalan
Menilai penglibatan calon dalam pelbagai aspek.
Contoh bidang ialah kepimpinan, interaksi sosial, kecenderungan, minat, komunikasi, sumbangan dan sebagainya.
Melihat sama ada calon bergerak secara berkumpulan atau bersendirian.

Kaedah soalan
Berdasarkan aktiviti ko-kurikulum yang tertera dalam sijil calon guru.

Contoh soalan
Berikan aktiviti ko-kurikulum yang anda sertai semasa di sekolah menengah dahulu.
Apakah yang anda pelajari semasa menyertai kelab bahasa Malaysia dengan menjadi setiausahanya?
Bagaimana anda menabur bakti kepada sekolah melalui aktiviti persatuan?
Bagaimana aktiviti sukan yang anda ceburi boleh member impak yang positif kepada bidang akademik?

Cadangan jawapan
Semasa di sekolah menengah dahulu, saya telah dipilih sebagai wakil dalam sukan hoki. Aktiviti seperti ini meninggalkan kesan positif kepada diri saya iaitu :
Disiplin waktu – mengurus jadual belajar dan latihan hoki dengan seimbang.
Berusaha gigih – untuk menang dalam pertandingan, saya harus berikhtiar dengan serius. Teknik yang sama saya praktikkan ketika dalam kelas.
Kekal sihat – badan saya cergas dan cerdas hasil dari latihan sukan.

Tip menjawab
Fokus pada prestasi atau pencapaian aktiviti di peringkat, sekolah, daerah, zon dan negeri.
Sertakan jawapan tidak formal termasuk pengalaman, silaturahim dan motivasi yang diperolehi selain daripada jawatan yang dimiliki.
Menyatakan sebab yang positif semasa anda terlibat dengan aktiviti tersebut.
Menerangkan manfaat yang diterima dalam aspek peningkatan diri dalam sesuatu bidang.

Semoga ianya bermanfaat untuk anda semua. Untuk yang akan menghadapi temuduga penting tersebut, ingatlah 1, rezeki ini daripada Allah, sudah tertulis ianya rezeki kita atau tidak masa kita masih diperut ibu. Yakinlah, berusahalah selagi ada peluang ini, rebutlah. Allah berjanji akan bagi pada yang berusaha dan bertawakal padaNya. Berdoa banyak-banyak. Moga resultnya positif nanti. Kami di wikikau sentiasa mendaokan kecemerlangan dan kejayaan pembaca kami diluar sana. Dunia dan Akhirat. Amiin.. – wikikau.com