Akta Gaji Minimum di Malaysia (Perintah Gaji Minimum 2016) | Dalam Ucapan Bajet 2016 pada 23 Oktober 2015 dan semasa Sambutan Hari Pekerja di Putra World Trade Centre (PWTC) pada 1 Mei 2016, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan kadar gaji minimum baharu bagi pekerja di sektor swasta. Kadar-kadar tersebut ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum 2016 P.U (A) 116 yang diwartakan pada 29 April 2016 dan mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2016.


Kadar gaji minimum yang ditetapkan adalah berdasarkan bulanan, harian dan mengikut jam. Berhubung pekerja yang tiada gaji pokok tetapi dibayar mengikut ‘upah ikut kerja’, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang kena dibayar hendaklah tidak kurang daripada kadar gaji minimum bulanan.

Dengan adanya Perintah Gaji Minimum 2016, Perintah Gaji Minimum 2012 adalah terbatal mulai 1 Julai 2016.

Apa Yang Majikan Perlu Tahu Apa Yang Majikan Perlu Tahu

Perintah Gaji Minimum 2016 memerlukan semua majikan mengambil tindakan sewajarnya untuk membayar gaji minimum sebagaimana dalam Perintah. Majikan harus tahu bahawa pelaksanaan Perintah ini adalah untuk manfaat semua pihak berkepentingan dan selaras dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan produktiviti dan tahap pendapatan negara.

Adakah Perintah Gaji Minimum 2016 memberi kesan kepada syarikat saya?

YA. Anda dikehendaki oleh undang-undang untuk membayar gaji minimum sebanyak RM1000 setiap bulan jika anda beroperasi di Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan jika anda beroperasi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Apakah kesan Perintah Gaji Minimum 2016 kepada syarikat saya?

Sebagai majikan, syarikat anda dikehendaki melakukan perkara-perkara berikut:

Membayar semua pekerja tidak kurang RM1000 atau RM920 sebulan sebagai gaji pokok bergantung kepada lokasi bekerja sama ada di Semenanjung Malaysia atau Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Tidak mengurangkan gaji minimum kepada pekerja dalam tempoh percubaan.

Bolehkah syarikat saya memperoleh pengecualian daripada membayar gaji minimum?

TIDAK. Di bawah Perintah Gaji Minimum 2016, tiada pengecualian diberikan.

Adakah Perintah ini terpakai kepada pekerja asing di syarikat saya? Bagaimana pula dengan pembantu rumah?

Perintah ini terpakai kepada semua pekerja sektor swasta termasuk pekerja asing di Malaysia. Walau bagaimanapun, pekhidmat domestik termasuk pembantu rumah seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955 [Akta 265], Seksyen 2 Ordinan Buruh Sabah [Bab 67] dan Seksyen 2 Ordinan Buruh Sarawak [Bab 76] dikecualikan.

Bagaimanakah Kerajaan merangka penetapan gaji minimum?

Majlis Perundingan Gaji Negara mengambil kira beberapa faktor dalam menentukan kadar gaji minimum iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan, keupayaan majikan untuk membayar gaji (penengah gaji), Indeks Harga Pengguna, Kadar Pengangguran Sebenar dan Pertumbuhan Produktiviti.

Faktor-faktor di atas menerangkan perbezaan antara gaji minimum yang ditetapkan bagi Semenanjung Malaysia dan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Untuk maklumat lanjut mengenai cara penetapan kadar gaji minimum, sila klik di sini.

Apakah tindakan yang akan dikenakan kepada majikan yang gagal mematuhi PGM 2016 selepas 1 Julai 2016?

Berdasarkan seksyen 43 Akta 732, majikan yang gagal mematuhi PGM 2016 akan dikenakan tindakan seperti berikut:

(i) Penalti bagi kesalahan pertama: denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja;

(ii) Penalti am: denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap kesalahan di mana penalti khusus tidak dinyatakan;

(iii) Penalti bagi kesalahan berterusan: denda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan; dan

(iv) Penalti bagi kesalahan berulang: denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun.

 

Apa Yang Pekerja Perlu Tahu

Kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM900 kepada RM1000 di Semenanjung Malaysia dan daripada RM800 kepada RM920 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Julai 2016. Ini bermakna sebagai seorang pekerja di Malaysia, anda berhak untuk mendapat gaji minimum. Perintah Gaji Minimum 2016 adalah tidak terpakai kepada perantis dan pekhidmat domestik (cth., pembantu rumah) seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955 [Akta 265], Seksyen 2 Ordinan Buruh Sabah [Bab 67] dan Seksyen 2 Ordinan Buruh Sarawak [Bab 76].

Ketahui hak anda!

Pelaksanaan gaji minimum untuk semua pekerja telah mengubah struktur gaji secara signifikan di Malaysia. Pekerja harus sedar akan hak mereka di bawah undang-undang.

Mengapakah gaji minimum dilaksanakan dan apakah manfaatnya kepada saya?

Perintah Gaji Minimum digubal bagi memastikan bahawa semua pekerja memperoleh manfaat daripada hasil pembangunan seiring usaha negara untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Pelaksanaan gaji minimum membantu meningkatkan gaji selaras dengan kos sara hidup, seterusnya membolehkan pekerja memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Ia juga secara langsung meningkatkan kadar bayaran kerja lebih masa (overtime), caruman dalam simpanan KWSP dan perlindungan di bawah PERKESO.

Benar atau Salah? Majikan saya kata…

1. Pekhidmat domestik tidak tertakluk kepada Perintah Gaji Minimum 2016.

Benar! Perintah Gaji Minimum 2016 tidak terpakai kepada pekhidmat domestik (Cth: pembantu rumah) seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955 [Akta 265], Seksyen 2 Ordinan Buruh Sabah [Bab 67] dan Seksyen 2 Ordinan Buruh Sarawak [Bab 76]. Perintah juga tidak terpakai kepada perantis.

2. Dia boleh membayar gaji yang lebih rendah daripada gaji minimum jika saya setuju.

Salah! Majikan anda dikehendaki untuk membayar gaji minimum. Sekalipun jika anda setuju, ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang.

3. Bahawa saya boleh dibayar kurang daripada gaji minimum kerana saya pekerja tempatan dalam tempoh percubaan.

Pekerja dalam tempoh percubaan perlu dibayar gaji minimum sepenuhnya mulai 1 Julai 2016.

4. Dia kini boleh menggunakan Perintah Gaji Minimum 2016 untuk membayar gaji yang lebih rendah berbanding yang saya persetujui sebelum ini.

Salah! Majikan anda tidak boleh menggunakan Perintah ini sebagai alasan untuk membayar gaji yang lebih rendah daripada gaji yang telah dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan.

 

Soalan Lazim

Kementerian Sumber Manusia menyedari bahawa majikan dan pekerja mungkin mempunyai soalan mengenai pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2016. Bagi menangani hal ini, Kementerian telah menyusun satu set Soalan Lazim yang komprehensif, seperti yang diterbitkan di bawah ini.

Jika anda mempunyai soalan yang tidak dijawab dalam Soalan Lazim, anda boleh menghantar soalan ke [email protected].

Mengapa dasar gaji minimum penting?

Untuk Pekerja:

Dasar gaji minimum membantu meningkatkan gaji selaras dengan kos sara hidup, seterusnya membolehkan pekerja memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2016 akan secara langsung meningkatkan kadar bayaran kerja lebih masa (overtime), caruman dalam simpanan KWSP dan perlindungan di bawah PERKESO.

Untuk Majikan:

Pelaksanaan dasar gaji minimum menggalakkan firma untuk melabur dalam teknologi yang akan membantu meningkatkan rantaian pengeluaran dan seterusnya menambahbaik produktiviti dan daya saing.

Untuk Kerajaan:

Dasar gaji minimum mentransformasi ekonomi daripada intensif buruh kepada intensif modal melalui automasi dan mekanisasi serta membantu negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Siapa yang menentukan kadar gaji minimum?

Kadar gaji minimum ditentukan oleh Kerajaan berdasarkan syor yang dibuat oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

Siapa yang menguatkuasakan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] dan Perintah Gaji Minimum 2016?

Jabatan Tenaga Kerja adalah bertanggungjawab untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang tersebut. Jika ada majikan yang berdegil untuk tidak membayar gaji minimum ini, anda disyorkan untuk membuat aduan di Pejabat Tenaga Kerja yang berhampiran dengan anda. Boleh rujuk sini

Apakah fungsi dan kuasa Majlis Perundingan Gaji Negara?

Fungsi dan kuasa Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) adalah seperti yang berikut:

• menasihati Kerajaan mengenai semua perkara berhubung dengan gaji minimum termasuk perkembangannya di peringkat antarabangsa;
• membuat syor kepada Kerajaan mengenai kadar gaji minimum dan liputan berdasarkan sektor, jenis pekerjaan dan kawasan wilayah, dan perkara-perkara lain berhubung dengan gaji minimum dan gaji;
• menerangkan kepada orang awam mengenai kadar gaji minimum dan liputan;
• mengumpul dan menganalisis data dan maklumat dan menjalankan kajian tentang gaji dan petunjuk sosioekonomi;
• menyelaras dan menyelia, dan menilai impak pelaksanaan gaji minimum;
• mengkaji semula perintah gaji minimum;
• membincangkan semua perkara yang berhubung dengan gaji minimum;
• menyebarkan maklumat dan analisis mengenai gaji;
• menjalankan apa-apa fungsi lain sebagaimana yang difikirkannya sesuai untuk membolehkannya melaksanakan fungsi dengan berkesan atau yang berkaitan pelaksanaan fungsinya.

Pada masa yang sama, MPGN juga telah diberi kuasa untuk melakukan semua perkara yang berkaitan fungsinya. Majlis juga perlu mengkaji Perintah Gaji Minimum sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun.

Siapakah anggota-anggota Majlis Perundingan Gaji Negara?

Pada masa sekarang anggota-anggota Majlis terdiri daripada wakil-wakil berikut yang dilantik oleh Menteri Sumber Manusia:

• Seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha
• enam anggota majikan
• enam anggota pekerja
• lima anggota Pegawai Awam
• lima anggota lain (contoh: ahli akademik, pakar ekonomi dan Badan Bukan Kerajaan)

Berdasarkan Seksyen 5 (6) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), bilangan ahli majlis tidak boleh melebihi 29 orang.

Apakah faktor-faktor penentu kadar gaji minimum?

Pada masa sekarang, kadar gaji minimum ditentukan oleh lima faktor:

1. Pendapatan Garis Kemiskinan
2. Keupayaan majikan untuk membayar gaji (penengah gaji)
3. Indeks Harga Pengguna (CPI)
4. Kadar pengangguran sebenar
5. Pertumbuhan produktiviti

Formula adalah seperti yang berikut:


di mana

GM = Gaji minimum (RM)
PGK = Pendapatan garis kemiskinan (RM)
P = Pertumbuhan produktiviti (%)
CPI = Indeks Harga Pengguna (perubahan %)
UE = Kadar pengangguran (%): kadar pengangguran benar tolak kadar pengangguran semula jadi (4%)
i = Wilayah

Apakah perbezaan-perbezaan utama Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) berbanding Perintah Gaji Minimum 2012 (PGM 2012)?

PGM 2016 mengandungi peruntukan-peruntukan yang ditambahbaik daripada PGM 2012, iaitu:

(i) Kadar gaji minimum yang baharu di bawah PGM 2016 meliputi bulanan, harian dan jam;

(ii) Kadar gaji minimum ditetapkan untuk pekerja yang tidak mempunyai gaji pokok tetapi dibayar secara upah ikut kerja (piece-rate), berat tan (tonnage), tugasan (task), perjalanan (trip) atau komisen (commission);

(iii) Kadar gaji minimum tidak boleh dikurangkan untuk pekerja dalam tempoh percubaan;

(iv) Tiada peruntukan untuk rundingan bagi penstrukturan semula gaji; dan

(v) Tiada peruntukan untuk majikan membuat penangguhan gaji minimum baharu.

Apakah pendekatan-pendekatan yang diambil oleh Kerajaan dalam membuat penetapan gaji minimum di bawah Perintah Gaji Minimum 2016?

Pendekatan-pendekatan yang diambil oleh Kerajaan dalam membuat penetapan gaji minimum adalah:

(i) Pendekatan Seimbang – mengambil kira syor daripada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), majikan dan juga pekerja;

(ii) Menetapkan kadar gaji minimum tidak kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan Kebangsaan (PGK);

(iii) Merapatkan jurang perbezaan gaji minimum antara wilayah; dan

(iv) Peningkatan kadar gaji minimum hendaklah munasabah, tidak menjejaskan ekonomi dan mengekalkan daya saing negara.

Mengapakah penetapan kadar gaji harian dimasukkan dalam Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016)?

Penetapan kadar gaji harian dimasukkan dalam PGM 2016 bagi memastikan pekerja yang bergaji harian dilindungi di bawah Perintah ini. Ia juga bagi memastikan tiada lagi kekeliruan di kalangan majikan dan pekerja bagi menetapkan kadar gaji harian yang selaras dengan gaji minimum.

Adakah terdapat klausa pengecualian dalam Perintah Gaji Minimum 2016?

Tiada klausa pengecualian dalam Perintah Gaji Minimum 2016.

Mengapakah klausa permohonan penangguhan, perundingan penstrukturan semula gaji dan pengurangan kadar gaji minimum dalam tempoh percubaan tidak dimasukkan dalam Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016)?

Klausa permohonan penangguhan dan perundingan penstrukturan semula gaji dimasukkan dalam Perintah Gaji Minimum 2012 untuk membantu majikan-majikan dalam melaksanakan gaji minimum buat pertama kali. Bagi klausa pengurangan kadar gaji minimum dalam tempoh percubaan pula, didapati ia telah menimbulkan salah tafsir antara majikan dan pekerja. Justeru, diputuskan tidak perlu ada klausa ini.

Adakah pekerja-pekerja TASKA, badan bukan berasaskan keuntungan (non-profit organisation) atau badan kebajikan dikecualikan daripada Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016)?

PGM 2016 adalah terpakai kepada semua pekerja di sektor swasta yang bekerja di Malaysia termasuk pekerja-pekerja TASKA, badan bukan berasaskan keuntungan (non-profit organisation) atau badan kebajikan, kecuali pekhidmat domestik. Penetapan pelaksanaan gaji minimum ke atas kategori pekerja-pekerja di atas dibuat kerana:

(i) Memberi hak yang sama kepada semua kategori pekerja;

(ii) Mencapai objektif gaji minimum yang antaranya ialah membantu dan melindungi pekerja-pekerja yang mudah terancam (vulnerable);

(iii) Mencegah penganiayaan dan diskriminasi; dan

(iv) Majikan daripada sektor-sektor berkenaan boleh menggajikan pekerja secara separa masa, atau dibayar mengikut kadar jam, atau harian sebagaimana ditetapkan di bawah PGM 2016.

Adakah pekerja-pekerja industri mikro dikecualikan daripada Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016)?

PGM 2016 tetap terpakai kepada semua pekerja termasuk industri mikro kerana kumpulan pekerja dalam subsektor ini adalah “vulnerable group” dan perlu dilindungi.

Mengapakah pekerja asing tidak dikecualikan daripada Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016)?

Pendirian Kerajaan ialah menetapkan bahawa PGM 2016 meliputi semua pekerja tempatan termasuk juga pekerja asing berasaskan sebab-sebab yang berikut:

(i) Dasar gaji minimum hendaklah tidak mendiskriminasi seseorang pekerja atas alasan kewarganegaraan, selaras dengan Konvensyen ILO No.100: Equal Remuneration yang mana telah diratifikasikan oleh Malaysia pada tahun 1997;

(ii) Ia adalah bertentangan dengan seksyen 60L Akta Kerja 1955, seksyen 118B Ordinan Buruh Sabah atau seksyen 119B Ordinan Buruh Sarawak di mana tidak membenarkan sebarang bentuk diskriminasi antara pekerja tempatan dan pekerja asing; dan

(iii) Bagi menjamin dan memelihara peluang pekerjaan rakyat tempatan agar tidak terjejas. Sekiranya pekerja asing dikecualikan dari gaji minimum atau dibayar gaji minimum yang kurang, majikan akan cenderung untuk terus menggaji pekerja asing berbanding pekerja tempatan. Ini adalah bertentangan dengan salah satu objektif pelaksanaan gaji minimum iaitu untuk mengurangkan kebergantungan majikan kepada pekerja asing yang kurang mahir.

Apakah implikasi undang-undang apabila Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) diwartakan?

Implikasi undang-undang apabila PGM 2016 diwartakan ialah:

(i) Perintah Gaji Minimum 2012 adalah terbatal. Bagaimanapun, apa-apa prosiding undang-undang, pendakwaan atau siasatan yang dibuat di bawah Perintah Gaji Minimum 2012 adalah diteruskan sehingga selesai;

(ii) Semua kontrak dan Perjanjian Kolektif hendaklah mengambilkira semua peruntukan dalam PGM 2016; dan

(iii) Pekerja-pekerja dalam tempoh percubaan hendaklah dibayar gaji penuh tanpa pengurangan apabila PGM 2016 dikuatkuasakan.

Mengapa Garis Panduan Majlis Perundingan Gaji Negara Mengenai Kaedah Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012 (PGM 2012) dibatalkan?

Garis Panduan tersebut dikeluarkan oleh MPGN bagi membantu para majikan dan kesatuan sekerja serta pekerja untuk melaksanakan PGM 2012 dengan teratur. Beberapa peruntukan di dalam Garis Panduan seperti kaedah penetapan gaji minimum bagi pekerja bergaji harian serta pekerja yang dibayar mengikut upah ikut kerja (piece-rate), berat tan (tonnage), tugasan (task), perjalanan (trip) atau komisen telah dimasukkan dalam Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016). Selain itu, kaedah penstrukturan semula gaji telah dibatalkan melalui PGM 2016. Oleh itu, Garis Panduan ini tidak relevan lagi.

Apakah perbezaan di antara ‘gaji’ dan ‘gaji minimum’?

‘Gaji’ dan ‘Gaji Minimum’ ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011. ‘Gaji’ mempunyai maksud yang sama dengan ‘gaji’ dalam seksyen 2 Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) manakala ‘gaji minimum’ merujuk kepada gaji pokok sahaja, tidak termasuk apa-apa elaun atau bayaran lain.

Apakah definisi gaji minimum?

Gaji minimum adalah gaji pokok, tidak termasuk apa-apa elaun atau bayaran lain.

Bilakah Perintah Gaji Minimum 2016 dilaksanakan?

Perintah Gaji Minimum 2016 berkuatkuasa 1 Julai 2016.

Siapakah yang berhak menerima gaji minimum?

Semua pekerja tempatan dan pekerja asing yang mempunyai kontrak perkhidmatan dengan majikan adalah berhak menerima gaji minimum.

Siapakah yang tidak tertakluk di bawah Perintah Gaji Minimum 2016?

• Pekhidmat domestik (cth. pembantu rumah).
• Perantis yang diambil untuk latihan bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun.

Berapakah kadar gaji minimum untuk pekerja separa masa yang bekerja mengikut jam di bawah Perintah Gaji Minimum 2016?

Gaji minimum untuk pekerja separa masa di bawah Perintah adalah RM4.81 sejam di Semenanjung Malaysia dan RM4.42 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Apakah rasional mewujudkan peruntukan baharu berhubung bayaran gaji bulanan kepada pekerja-pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja (piece-rate), berat tan (tonnage), tugasan (task), perjalanan (trip) atau komisen (commission)?

Langkah memasukkan peruntukan ini di dalam PGM 2016 adalah bagi memastikan semua pekerja menikmati kadar gaji minimum termasuk pekerja yang dibayar mengikut upah ikut kerja (piece-rate), berat tan (tonnage), tugasan (task), perjalanan (trip) atau komisen (commission). Ia juga bagi memastikan tidak berlakunya eksploitasi kepada golongan pekerja-pekerja ini.

Adakah gaji minimum menghalang majikan melaksanakan Productivity-Linked Wage System (PLWS)?

TIDAK. Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum tidak akan menghalang majikan melaksanakan PLWS.

Mengapakah perlu hukuman penjara bagi kesalahan di bawah Akta tersebut?

Hukuman penjara adalah tindakan yang perlu terhadap majikan yang berulang kali melakukan kesalahan.

Di manakah majikan dan pekerja boleh mendapatkan bantuan dan nasihat mengenai dasar dan pelaksanaan gaji minimum?

Isu-isu Dasar

Sekretariat
Majlis Perundingan Gaji Negara
Kementerian Sumber Manusia
Aras 7, Blok D3, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62530 PUTRAJAYA
Tel: 03-8886 5156
Faks: 03-8881 0668
E-mel: minimumwages[at]mohr[dot]gov[dot]my
Laman sesawang: www.mohr.gov.my

Isu-isu Pelaksanaan

Jabatan Tenaga Kerja (Semenanjung Malaysia dan Labuan)
Kementerian Sumber Manusia
Aras 5, Blok D3, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62530 PUTRAJAYA
Tel : 03-88865192
Faks: 03-8889 2368
Emel : jtksm[at]mohr[dot]gov[dot]my
Laman sesawang: jtksm.mohr.gov.my

Jabatan Tenaga Kerja (Sabah)
Tingkat 1, Blok C & D,
Bangunan KWSP P/S 14557
88852, Kota Kinabalu, SABAH
Tel : 088-238755/233820
Faks : 088-242445
Emel : jtknsabah[at]mohr[dot]gov[dot]my
Laman sesawang: jtksbh.mohr.gov.my

Jabatan Tenaga Kerja (Sarawak)
Tingkat 13, Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga,
93532, Kuching, SARAWAK
Tel : 082-242261/414062
Faks : 082-244909
Emel : gajimin[at]mohr[dot]gov[dot]my
Laman sesawang: jtkswk.mohr.gov.my

Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia
Kementerian Sumber Manusia
Aras 9, Blok D4, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62530 PUTRAJAYA
Tel : 03-88865460
Faks : 03-88862355
Emel : jppm[at]mohr[dot]gov[dot]my
Laman sesawang: jpp.mohr.gov.my