Kontrak perkhidmatan adalah sesuatu yang menjadi kewajipan untuk disediakan oleh majikan kepada pekerja yang baru digajikan. Kontrak perkhidmatan banyak diberi nama seperti surat perjanjian, surat tawaran, dan lain-lain. Walauapapun ianya dipanggil, ia perlu ada beberapa perkara penting di dalamnya sebagaimana admin sediakan di bawah.

 

1. Makna Kontrak Perkhidmatan

Kontrak perkhidmatan ialah satu perjanjian di mana seseorang bersetuju untuk mengambil bekerja seseorang lain sebagai pekerja dan orang lain itu bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja.


2. Bentuk Kontrak Perkhidmatan

2.1 Kontrak perkhidmatan boleh dibuat samada secara lisan, bertulis, nyata atau tersirat. Walaubagaimanapun terdapat kontrak perkhidmatan yang perlu dibuat secara bertulis iaitu:

a) Kontrak perkhidmatan untuk suatu tempoh masa tertentu yang melebihi satu bulan atau bagi sesuatu kerja tertentu di mana masa yang dikehendaki bagi menyiapkan kerja itu mungkin melebihi satu bulan.

b) Suatu kontrak perantisan yang dibuat oleh seseorang dengan majikan yang berjanji akan menggaji orang itu dan melatihnya bagi suatu tempoh tertentu yang tidak kurang dari dua tahun.

2.2 Walaupun suatu kontrak perkhidmatan boleh dibuat secara lisan atau bertulis, terma-terma seperti berikut hendaklah diberi kepada seorang pekerja secara bertulis pada atau sebelum ia memulakan pekerjaan, iaitu:

a) Nama pekerja dan No. Kad Pengenalan Pendaftaran Negara

b) Pekerjaan atau jawatan

c) Kadar upah ( tidak termasuk elaun-elaun lain)

d) Elaun lain yang boleh dibayar dan kadar bayaran

e) Kadar bayaran kerja lebih masa

f) Faedah-faedah lain (termasuk kemudahan dan perkhidmatan yang diluluskan)

g) Waktu kerja biasa sehari yang dipersetujui

h) Tempoh notis bagi penamatan kerja yang dipersetujui atau upah sebagai ganti notis yang dipersetujui

i) Bilangan hari yang layak untuk cuti kelepasan am dan cuti tahunan bergaji, cuti sakit; dan

j) Jangka masa bagi upah.

3. Larangan-larangan Berhubung Kontrak Perkhidmatan

a) Terma-terma di dalam sesuatu kontrak perkhidmatan tidak boleh kurang daripada terma-terma yang ditetapkan di bawah peruntukan Akta Kerja 1955.

b) Sesuatu kontrak perkhidmatan tidak boleh menyekat hak pekerja untuk menganggotai, menyertai kegiatan atau penubuhan kesatuan sekerja.

c) Sesuatu kontrak perkhidmatan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat tentang di mana atau cara mana atau dengan siapa, seseorang pekerja perlu membelanjakan upah yang diterimanya.

4. Penamatan Kontrak Perkhidmatan

4.1 Penamatan dengan notis

4.1.1 Setiap kontrak perkhidmatan hendaklah mengandungi terma menetapkan tempoh notis yang diperlukan bagi menamatkan kontrak perkhidmatan tersebut.

4.1.2 Sekiranya tempoh notis tidak dinyatakan dalam kontrak perkhidmatan, tempoh notis hendaklah seperti berikut:-

a) 4 minggu notis jika pekerja telah bekerja kurang daripada dua tahun

b) 6 minggu notis jika pekerja telah bekerja 2 tahun atau lebih tetapi kurang daripada 5 tahun.

c) 8 minggu notis jika pekerja telah bkerja 5 tahun atau lebih.

(satu minggu bermakna satu tempoh 7 hari berturut-turut)

4.1.3 Panjang tempoh notis hendaklah serupa bagi kedua-dua majikan dan pekerja.

4.2 Penamatan tanpa notis

4.2.1 Samada oleh majikan atau pekerja.

a) Mana-mana pihak boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa notis dengan membayar kepada pihak lain suatu indemniti yang bersamaan dengan jumlah upah yang sepatutnya terakru kepada pihak tersebut dalam tempoh notis tersebut atau dikenali sebagai Gaji Ganti Notis di Pejabat Tenaga Kerja.

b) Mana-mana pihak boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa notis sekiranya sesuatu pihak yang lain sengaja melanggar syarat-syarat di dalam kontrak perkhidmatan berkenaan.

4.2.1.1 Keadaan dimana kontrak perkhidmatan dianggap telah dilanggar oleh pekerja:-

a) Seseorang pekerja akan dianggap telah melanggar kontrak perkhidmatannya, jika ia terus menerus tidak hadir kerja selama lebih daripada dua hari kerja berturut-turut tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada majikannya atau ia tidak mempunyai alasan yang munasabah bagi ketidakhadiran ia hendaklah memberitahu atau cuba memberitahu majikannya tentang alasan itu sebelum ketidakhadirannya atau secepat mungkin yang boleh semasa ketidakhadiran tersebut.

b) Seseorang pekerja juga akan dianggap sebagai melanggar kontrak perkhidmatan jika ia gagal memberitahu atau cuba untuk memeberitahu majikannya perihal cuti sakit yang diberikan oleh pegawai perubatan dalam tempoh 48 jam daripada bermulanya cuti sakit tersebut.

4.2.1.2. Keadaan dimana kontrak perkhidmatan dianggap telah dilanggar oleh majikan:

a) Seseorang majikan akan dianggap telah melanggar komtrak perkhidmatan jika ia gagal membayar upah kepada pekerja dalam tempoh yang ditetapkan di bawah Bahagian III Akta Kerja 1955.

4.2.2 Oleh Majikan

a) Seseorang majikan bolehlah menamatkan perkhidmatan pekerjanya tanpa notis atas alasan salahlaku yang berlawanan dengan syarat- syarat ontrak perkhidmatan yang dilakukan oleh pekerja berkenaan.

4.2.3 Oleh Pekerja

a) Seseorang pekerja boleh menamatkan kontrak perkhidmatannya tanpa notis jika dia atau mana-mana tanggungannya diancam bahaya atau penyakit yang ia tidak setuju menghadapi dibawah kontrak perkhidmatannya.

5. Prosedur Penamatan Kontrak Kerana Salahlaku

5.1 Seseorang majikan boleh menamatkan perkhidmatan seorang pekerja selepas ia menjalankan siasatan untuk membuktikan salahlaku tersebut.

a) Bagi maksud menjalankan siasatan, majikan boleh menggantung pekerja daripadaa kerja untuk tempoh tidak melebihi 2 minggu.

b) Semasa tempoh penggantungan kerja, seseorang pekerja hendaklah dibayar tidak kurang dari setengah upahnya

c) Sekiranya selepas siasatan salahlaku itu tidak dapat dibuktikan, pekerja berkenaan hendaklah dibayar upah sepenuhnya bagi tempoh ia digantung kerjanya.

Kesimpulannya, kontrak perkhidmatan adalah satu yang penting dalam satu-satu syarikat antara pekerja dan majikan. Majikan boleh mengikat pekerja mengikut terma dan syarat seperti di dalam kontrak tersebut yang selagi ianya tidak melanggar kehendakan undang-udang buruh. Maka, pekerja tidak boleh suka-suka melanggar peraturan kerja. Pekerja juga mempunyai pilihan sama ada kontrak perkhidmatan yang disediakan oleh majikan merugikan atau mengutungkan pekerja itu sendiri sebelum tandatangan setuju untuk mengikut segala terma dan syarat yang terkandung di dalamnya.

Anda boleh memuatturun contoh kontrak perkhidmatan yang menjadi sample atau contoh daripada Pejabat Tenaga Kerja [KLIK SINI]