Pengenalan Ordinan Buruh Sabah Bab. 67 | Ordinan Buruh Sabah mula diperkenalkan di sekitar tahun 1950-an oleh penjajah Inggeris. Ia mengalami sedikit pindaan dari semasa ke semasa sehinggalah Sabah dan Sarawak bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia pada tahun 1963. Di bawah Perlembagaan Persekutuan ‘buruh’ (labour) adalah di bawah senarai Persekutuan.

Namun, Ordinan Buruh Sabah terus di pakai di negeri Sabah dan diistiharkan sebagai perundangan Persekutuan.

Memandangkan Ordinan Buruh Sabah adalah satu perundangan lama yang agak lapuk, maka peruntukan-peruntukan di dalamnya pun agak lapuk (outdated) dan tidak lagi sesuai digunakan dalam keadaan semasa.

Akibatnya, ramai pekerja-pekerja di negeri Sabah ditindas terutamanya oleh majikan-majikan yang bijak mengambil kesempatan dari kelemahan-kelemahan yang ada pada perundangan ini.

Atas usaha pelbagai pihak, maka Ordinan Buruh Sabah telah dipinda sekali lagi menerusi Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2004 ataupun Labour Ordinance Of Sabah (Amendment) Act 2004 [Act A 1238].

Akta ini antara lain telah memansuhkan 76 seksyen pada ordinan tersebut yang sudah lapuk dan tidak sesuai digunakan lagi.

Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2004 ini telah dimodelkan dari Akta Kerja 1955 dan ia membolehkan pekerja-pekerja di negeri di bawah bayu ini menerima faedah-faedah dan perlindungan yang hampir sama dengan pekerja-pekerja di Semenanjung Malaysia.

Ciri Penting Pada Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2004

Antara ciri terpenting pada Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) adalah ia terpakai kepada pekerja-pekerja yang gajinya TIDAK MELEBIHI RM 2,500.

Ini merupakan satu kelebihan buat pekerja-pekerja di Sabah berbanding dengan di Semenanjung Malaysia yang mana Akta Kerja 1955 hanya terpakai pada pekerja-pekerja yang gajinya hanya tidak melebihi RM 1,500 sahaja.

Harus diberi perhatian juga adalah satu Arahan Kekecualian telah dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia pada 30hb September 2005.

Di bawah Employment (Exemption) Order 2005, peruntukan berkaitan dengan hari kelepasan am, masa kerja, kerja shift dan kerja pada hari rehat dikecualikan terhadap pekerja-pekerja yang gaji mereka di antara RM 2,001 hingga RM 2,500 sebulan.

Ini bermakna majikan tidak terikat untuk memberikan faedah-faedah seperti bayaran kerja lebih masa (OT) dan bayaran tambahan bagi kerja di hari kelepasan am atau cuti rehat kepada pekerja-pekerja yang gaji mereka dilingkungan ini. Arahan ini berkuatkuasa pada 1hb Oktober 2005 di Sabah dan juga di Sarawak.

Ia dibuat setelah bantahan dibuat oleh majikan-majikan terhadap gaji minima yang ditetapkan untuk pekerja-pekerjayang dilindungi di bawah Ordinan ini.

Secara amnya, Ordinan Buruh Sabah adalah satu perundangan yang penting dan memberi banyak faedah dan perlindungan kepada pekerja-pekerja di negeri Sabah.

Ini adalah ringkasan daripada SLO, jika anda ingin membaca Ordinan Buruh Sabah Bab 67 yang asal, boleh klik di sini. – wikikau.com