Soalan dan Jawapan Semasa Temuduga Part2 | Artikel kali ini admin akan berkongsi soalan dan jawapan yang mungkin korang boleh praktikan semasa temuduga dijalankan. Anda mungkin boleh menambahbaik jawapan yang disertakan ini jika merasakan jawapan itu terbaik untuk diri anda. Semoga berjaya daripada kami team WikiKau.

 

Sila perkenalkan diri anda.

Ceritakan mengenai diri anda iaitu nama, kelulusan (SPM, Diploma, Ijazah) dan pengalaman kerja dahulu (termasuk skop kerja). Nyatakan tujuan anda menghadiri temuduga pada hari berkenaan adalah bagi menambah pengalaman dan untuk menyumbang tenaga kepada pihak syarikat. Ucapkan terima kasih kerana telah memberikan peluang untuk ditemuduga.

 

Mengapa kami perlu memilih anda bekerja di syarikat kami?

Nyatakan kekuatan dan kelebihan yang anda miliki berkaitan dengan bidang kerja yang dipohon. Contoh: berdisiplin, bertanggungjawab, berhemah tinggi, sukakan cabaran dan sedia belajar sesuatu yang baru, mampu bekerja di dalam pasukan, bermotivasi tinggi dan mampu bekerja di bawah tekanan, bijak menguruskan masa. Kaitkan pengalaman kerja yang lepas dengan jawatan dipohon (jika berkaitan).

 

Apa yang anda akan sumbangkan sekiranya anda dipilih untuk jawatan ini?

Nyatakan sekiranya dipilih untuk jawatan berkenaan, pasti anda berusaha menjadi seorang kakitangan yang jujur dan produktif di dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Nyatakan juga, “Saya adalah antara ribuan graduan di luar sana yang mengharapkan dapat berkhidmat di syarikat tuan. Saya sedar saya bukanlah yang terbaik, namun jika tuan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat, tentu saya akan menggunakan peluang ini untuk memperbaiki diri saya dan belajar untuk menjadi yang terbaik. Saya percaya tiada seorang pun manusia di dunia ini menjadi yang terbaik tanpa berusaha dan terus belajar”.

 

Sila ceritakan penglibatan anda di dalam sukan dan persatuan?

Ceritakan mengenai sukan dan persatuan yang pernah anda sertai. Jika anda pernah memenangi pertandingan di dalam sukan yang disertai, terangkan secara ringkas mengenai pancapaian anda.

 

Apakah matlamat dan perancangan anda untuk jangkamasa pendek dan panjang?

Nyatakan matlamat anda bagi kerja yang dipohon. Contoh jawapan: “Matlamat jangka pendek adalah saya berharap agar mendapat pekerjaan tetap bagi menjamin kehidupan saya dan keluarga di masa hadapan. Saya amat berharap terpilih untuk menjawat jawatan ini. Matlamat jangka panjang adalah saya ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik. Saya akan terus memperbaiki kualiti kerja saya dengan cara menambahkan ilmu iaitu melalui menghadiri seminar, bengkel dan kursus. Saya juga berazam untuk mengembangkan potensi diri dan kerjaya saya sehingga ke peringkat tertinggi”.

 

Apakah kelemahan diri anda?

Jawapan bagi soalan ini harus diolah menjadi positif. Contoh jawapan: “Kelemahan diri saya adalah saya terlalu menumpukan kepada kerja yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Saya akan memastikan kerja disiapkan sebelum pulang ke rumah sehingga saya sanggup pulang lewat ke rumah”.

 

Ceritakan cara kerja anda?

Terangkan mengenai cara kerja anda secara teratur. Contoh jawapan: “Saya membuat kerja dengan terancang supaya saya boleh memberi tumpuan kepada kerja yang seterusnya. Saya sentiasa menyemak kerja saya supaya kerja saya lakukan itu betul-betul berkualiti. Saya juga sentiasa berbincang dengan rakan sekerja yang lain dalam melaksanakan tugasan yang diberi supaya lebih cekap dan efisyen”.

 

Bagaimana cara anda menangani tekanan kerja?

Jawapan untuk soalan ini mesti positif. Contoh jawapan: “Saya sentiasa fokus dan berusaha untuk menyiapkan kerja saya walaupun saya sedang tertekan. Tekanan boleh menjadi motivasi kepada saya kerana dengan adanya tekanan saya akan berusaha melakukan tugasan dengan lebih baik. Di samping itu juga, saya berdoa agar diberikan kekuatan oleh Allah di dalam menghadapi tekanan kerja”.

 

Apakah perkara yang dapat memberikan anda motivasi dalam bekerja?

Jawab secara positif. Contoh jawapan: “Saya melatih diri saya untuk menyiapkan kerja tepat pada masanya untuk mendapatkan prestasi kerja yang terbaik. Ianya akan memberikan kepuasan kepada diri saya”.

 

Sekiranya anda ditugaskan bekerja di kawasan pedalaman, apa reaksi anda?

Nyatakan bahawa anda sanggup untuk bertugas di mana sahaja termasuklah di kawasan pedalaman.

 

Apakah kebolehan lain anda?

Sediakan jawapan selain daripada yang ditulis dalam resume anda. Contohnya anda mahir membaiki komputer, mesin photostat, mesin fax, pandai dalam pertukangan dll yang dirasa sesuai dengan persekitaran tempat kerja.