Tempoh Notis atau Tempoh Surat Peletakan Jawatan yang perlu diberikan kepada Majikan/Pekerja | Artikel kali ini admin akan kongsikan kepada anda tempoh panjang notis yang perlu anda berikan kepada majikan anda jika anda seorang pekerja atau sebaliknya. Ini kerana, hanya seksyen ini sahaja yang melindungi majikan di dalam undang-undang buruh yang terdapat di Malaysia.

Tempoh Notis

Di dalam Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh Sarawak Bab.76 menyebut:

Seksyen 12 (1)
Mana-mana pihak kepada kontrak perkhidmatan boleh pada bila-bila masa memberi notis kepada  pihak lain tentang hasratnya untuk menamatkan kontrak perkhidmatan tersebut.

Jadi, di bawah peruntukan ini, mana-mana pihak iaitu majikan atau pekerja boleh menamatkan kontrak perkhidmatan (pekerjaan) tetapi hendaklah memberi notis.

Seksyen 12 (2)
Tempoh notis tersebut hendaklah sama dengan kedua-duanya majikan dan pekerja dan hendaklah ditentukan oleh suatu peruntukan yang dibuat secara bertulis untuk apa-apa notis dalam terma kontrak perkhidmatan, atau, dalam ketiadaan peruntukan sedemikian secara bertulis, tidak boleh kurang daripada-

(a) notis empat minggu jika pekerja tersebut telah bekerja dengan begitu untuk kurang daripada dua tahun pada tarikh notis itu diberikan;

(b) notis enam minggu jika dia telah bekerja selama dua tahun atau lebih tetapi kurang daripada lima tahun pada tarikh tersebut;

(c) notis lapan minggu jika dia telah bekerja selama lima tahun tahun atau lebih pada tarikh tersebut:

Manakala di bawah Ordinan Buruh Sabah Bab.67 klausa ini terletak di bawah Seksyen 11 (1) dan (2). Tentang isi dan tempoh notis adalah sama seperti Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh Sarawak Bab.76.

Majikan atau Pekerja berhak untuk menuntut Gaji ganti Notis.

Majikan berhak untuk membuat apa-apa tempoh notis di dalam kontrak perkhidmatan atau letter appoinment asalkan tempoh tersebut adalah sama antara dua pihak.

Jika mana-mana satu pihak tidak  mematuhinya, pihak yang satu lagi boleh menuntut Gaji Ganti Notis terhadap Majikan atau Pekerja jika pihak tersebut gagal berbuat demikian.

Pengiraan atau Jumlah Gaji Ganti Notis.

Jika di dalam kontrak perkhidmatan antara majikan dan pekerja menulis tempoh seperti contoh sebulan, majikan perlu membayar Gaji Ganti Notis sebanyak sebulan gaji kepada pekerja jika majikan tersebut gagal memberikan notis sebagaimana peruntukan seksyen di atas atau sebaliknya.

Rujuk : Pengiraan Gaji Ganti Notis atau Jumlah Notis yang boleh dituntut

Jika tiada di dalam Kontrak Perkhidmatan, boleh terus refer kepada jumlah notis seperti di dalam peruntukan di atas. Admin kasi satu contoh:

Ali bergaji RM1000 sebulan dan telah bekerja selama 2 tahun 6 bulan. Beliau telah diberhentikan majikannya tanpa alasan munasabah pada akhir bulan Ogos 2017. Ali tidak berpuashati terhadap pemberhentian tersebut.

Berdasarkan situasi di atas, Ali layak untuk menerima Gaji Ganti Notis sebanyak :

Ali telah bekerja 2 tahun 6 bulan. jadi dia layak untuk dapat 6 minggu notis berdasarkan peruntukkan di bawah S. 12 (2) (b). 6 minggu notis bermakna, 7 hari seminggu didarabkan 6 minggu notis kelayakan. Jumlah adalah 42 hari notis. Oleh kerana majikannya gagal untuk memberikan apa-apa notis, beliau layak untuk mendapat jumlah Gaji Ganti Notis sebanyak 42 hari:

  • RM1000 / 31 (jumlah hari di dalam bulan pemberhentian berlaku)  = RM32.26
  • RM32.26 X 42 hari = RM1,354.84.

Untuk Gaji Ganti Notis yang layak dituntut oleh Ali daripada Majikannya adalah sebanyak RM1,354.84.

Di dalam pemberhentian ini juga, Ali berhak untuk mendapatkan pampasan di panggil Faedah Penamatan Kerja. Admin akan kongsikan pada artikel akan datang. – wikikau.com


Admin:
Jika kurang jelas dengan Ganti Ganti Notis ini, anda bolehlah mengemukakan soalan diruangan komen di bawah. Terima kasih.